PROGRAM PEMERKASAAN KEPIMPINAN UNGGUL
Tarikh: 15 Julai 2026 (Rabu)
Masa: 9.00 pagi – 1.00 tengah hari
Tempat: Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM
Program Pemerkasaan Kepimpinan Unggul merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Kepimpinan, Universiti Sains Islam Malaysia di bawah inisiatif Leadership Advancement Program (LEAD) yang dirangka bagi memperkasa barisan pemimpin universiti secara holistik, berintegriti serta berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Seramai 112 orang staf telah menyertai program ini dan ia melibatkan barisan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTj) serta penyandang Jawatan Khas Pentadbiran (JKP) Universiti. Program ini merupakan anjuran Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sembilan.
Program ini bertujuan memperkukuh kompetensi kepimpinan, meningkatkan kesiapsiagaan pemimpin universiti serta memperkasa amalan tadbir urus yang cemerlang dalam mendepani cabaran pengurusan organisasi yang semakin dinamik.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi yang dikendalikan oleh fasilitator AKM Negeri Sembilan dengan penekanan terhadap penghayatan nilai kenegaraan, pembentukan jati diri pemimpin, kepimpinan berintegriti serta pembudayaan budaya kerja berprestasi tinggi.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pendaftar dalam membangunkan barisan pemimpin yang berwibawa, berfikiran strategik dan mampu memacu kecemerlangan organisasi selaras dengan aspirasi USIM.
