Majlis Ikrar Bebas Rasuah USIM telah pun diadakan pada 31 Oktober 2017 (Selasa) bertempat di Dewan Senat USIM dan telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi USIM, Pegawai-pegawai Kanan USIM dan juga Staf Sokongan.
Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil cetusan idea oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, Datuk Dzulkifli Ahmad. IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan tersebut.
Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh para kepimpinan dan warganya dalam menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ini juga, turut membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata, tetapi sebaliknya ianya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya di kalangan warga yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan, bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.