Pendaftar Pertama
[Lantikan 2000 hingga 2009]

TUAN HAJI ADDENAN HAJI ABD. RAHMAN

YBhg. Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman merupakan antara figura pengasas penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia yang ketika itu merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-12 di Malaysia. Beliau yang dilahirkan pada 05 Jun 1950 di Kampung Sungai Jurong, Slim River, Perak  merupakan anak ketujuh daripada 10 bersaudara. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, Perak (1964 – 1966), di Sekolah Menengah Methodist, Tanjung Malim, Perak (1967 – 1969) dan   seterusnya di Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur (1969 – 1970). 

Beliau seterusnya menyambung pengajian Sarjana Muda Sastera (Kepujian)di Universiti Malaya (1971 – 1974) dan Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Iowa State University, Amerika Syarikat (1985 – 1987). Dalam masa  yang sama, beliau turut memperoleh Certificate of Higher Education Management daripada University of Oxford, United Kingdom pada tahun 1997.

Kerjaya beliau bermula pada 30 Mei 1974 sebagai Pegawai Tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia. Atas pengalaman dan kewibawaan dimiliki, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pendaftar Kanan pada 1991.

Pada tahun 1999 beliau sekali lagi diberi kepercayaan dan dinaikkan pangkat memegang jawatan sebagai Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar.

Pada tahun 2000, beliau memutuskan berhijrah untuk menyumbangkan bakti sebagai Pendaftar pertama di Kolej Universiti Islam Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia sehingga bersara wajib pada tahun 2009.

Sepanjang perkhidmatan dan kerjaya, beliau telah dianugerahi pelbagai anugerah antaranya Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2006 dan Ijazah Kehormat Sarjana Da’wah dan Pengurusan Islam oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor pada tahun 2019 sempena Majlis Konvokesyen Ke-17 USIM.

Pendaftar Kedua
[Lantikan 2009 hingga kini]

DATO’ MUHAMMAD HAIZUAN ROZALI

YBhg. Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, merupakan anak kelahiran Temerloh, Pahang dan dilahirkan pada tanggal 12 Ogos 1967. Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh bersaudara. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh, Pahang (1981 – 1983) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan (1984 –1985). 

Beliau seterusnya menyambung pengajian di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu (1985 – 1989) sehingga memperolehi Diploma Pengajian Islam (Bahasa  dan Kesusasteraan Arab). Beliau meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga memperolehi Sarjana Muda Sastera Dengan Kepujian (Psikologi) (1989 – 1993) dan Sarjana Sastera (Psikologi Pembangunan Manusia) (1994 – 1999).

Kerjaya beliau bermula pada 19 September 1993 sebagai Perunding Cara Pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga tahun 2000. Mulai Jun 2000, beliau telah mengembangkan kerjaya sebagai Pensyarah di Kolej Universiti Islam  Malaysia sehingga tahun 2002 dan dalam masa yang sama memangku jawatan Timbalan Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar sebelum menjawat jawatan tersebut secara hakiki sehingga tahun 2007.

Selaras kepemimpinan dan kecemerlangan menerajui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pendaftar Kanan mulai tahun 2008 hingga 2009 dan seterusnya menerima mandat untuk
mengetuai hal ehwal pentadbiran Universiti sebagai Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia mulai tahun 2009 hingga kini.

Sepanjang perkhidmatan dan kerjaya, beliau telah dianugerahi pelbagai anugerah  antaranya Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S.) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2007, Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2011, Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T.) oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2013 dan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S.) pada tahun 2019 yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Ke-71 Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.