Kelas Asas Bahasa Arab Semarak Semangat Peserta Program Eksplorasi Ilmiah di Bumi Haramain
Nilai, 12 November 2025 – Bagi membantu peserta Program Eksplorasi Ilmiah di Bumi Haramain 2025 yang tidak mempunyai asas Bahasa Arab, pihak urus setia dengan kerjasama Ustazah Nabilah Yusof telah menganjurkan Kelas Asas Bahasa Arab sebagai inisiatif sukarela bagi memperkukuh persediaan rohani dan komunikasi peserta sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Kelas yang diadakan pada 12 November 2025 (Rabu) bertempat di Bilik Seminar 1, Aras Bawah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), USIM berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang dan telah disertai oleh sebahagian peserta program.
Suasana kelas berlangsung dengan penuh ceria dan santai, diselangi dengan sesi interaktif serta latihan sebutan asas Bahasa Arab harian yang akan digunakan semasa berada di Mekah dan Madinah. Peserta meluahkan rasa teruja dan berterima kasih atas peluang ini, manakala Ustazah Nabilah menyampaikan pengajaran dengan pendekatan ringan namun berkesan.
Penganjuran kelas ini diharap dapat memberi keyakinan kepada peserta untuk berkomunikasi dengan lebih baik sepanjang mengikuti Program Eksplorasi Ilmiah di Bumi Haramain yang dijadualkan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember 2025.