search box

Fakulti Pengajian Quran & Sunnah

 
LATAR BELAKANG

Bagi mencapai matlamat yang direncanakan serta untuk meluaskan skop pengajiannya, USIM telah menubuhkan Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah pada Sesi 2000/2001 dan mula mengambil sekumpulan pelajar sulungnya bagi satu program iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah. Adalah diharapkan fakulti ini menjadi satu lagi wadah untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan, mahir dan profesional dalam bidang pengajian Quran dan Sunnah. Disamping itu, Fakulti ini juga berharap akan dapat mengembangkan lagi Syiar Islam dengan membuka ruang kepada para penyelidik dan pendidik untuk mengkaji, menyelidik dan menyebarkan pengetahuan dan hikmah yang terkandung di dalam kitab suci Quran dan Sunnah kepada masyarakat dan Negara.

Bidang pengajian Quran dan Sunnah merupakan bidang yang paling dituntut dalam agama Islam kerana ia merupakan teras kepada kehidupan seorang muslim. Oleh itu, dengan tertubuhnya Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah ini ia akan menyemarakkan lagi penghayatan Quran dan Sunnah dalam kehidupan manusia yang semakin pesat dengan kemajuan teknologi dan gerakan modernisasi global. Bagi melaraskan kembali pembinaan ketamadunan yang utuh maka pembinaan akhlak tenaga manusia merupakan perkara yang paling wajib diutamakan oleh negara. Justeru, kepentingan pengajian Quran dan Sunnah ini memang tidak dapat dinafikan lagi.

Berdasarkan kepada kesedaran dan hasrat inilah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah komited untuk terus memartabatkan pengajian Quran dan Sunnah dalam arus perdana pendidikan negara. Antara inisiatif yang diambil oleh pihak Fakulti termasuklah menawarkan beberapa program pengajian baru yang bersifat inovatif yang mengintegrasikan antara pengajian Quran dan Sunnah yang berbentuk klasikal dengan bidang-bidang yang bersifat gunaan selaras dengan hasrat dan keperluan Negara. Justeru, mulai sesi pengajian 2005/2006, dua program pengajian baru akan ditawarkan iaitu program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran Dengan Multimedia (Dengan Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat (Dengan Kepujian). Kedua-dua program ini yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), USIM ini merupakan satu nilai tambahan kepada pelajar-pelajar aliran agama di Malaysia yang meluaskan peluang pengajian mereka di samping bidang pengajian Quran dan Sunnah yang sedia ada.

MOTO : Berilmu, Berdisiplin & Bertaqwa

FALSAFAH : Paduan antara Ilmu Naqli dan Aqli serta budi pekerti yang mulia adalah teras utama membentuk ummah cemerlang dan masyarakat berilmu.

MISI : Bertekad menjadi sebuah Fakulti yang terkehadapan dalam pengajian Quran & Sunnah yang mengintegrasikan teknologi terkini bagi menyelesaikan isu-isu semasa yang berkaitan dengan Islam dan masyarakat.

WAWASAN : Memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat negara dan dunia sejagat.

OBJEKTIF PENUBUHAN

  1. Menjalankan penyelidikan yang meneroka masalah dan cabaran umat Islam serta mencari penyelesaiannya bersumberkan Quran dan Sunnah bagi meningkatkan mutu kehidupan dan martabat diri umat Islam sebagai umat yang bertaqwa, moden dan progresif.
  2. Melahirkan graduan yang berpengetahuan tinggi, berpandangan jauh, berakhlak mulia serta berdaya kepimpinan yang tinggi dalam semua bidang bagi menerajui pembangunan negara seiring dengan wawasan dan perkembangan negara dan juga dunia Islam seluruhnya. Secara khususnya, membentuk graduan yang berkualiti, kreatif dan inovatif dalam kaedah penyampaian dan meningkatkan pengalaman serta penghayatan masyarakat terhadap Quran dan Sunnah berteraskan perkembangan ilmu semasa.
  3. Membentuk tenaga kerja yang mempunyai peribadi mulia, beretika, cekap dan profesional bagi menggerakkan pembangunan serta berdaya saing tinggi bagi memimpin masyarakat Islam moden yang progresif dalam semua arena yang diceburi.
  4. Menyebarkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan agama Islam kepada seluruh umat melalui usaha khidmat masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mereka kepada kesucian agama Islam dan ketaqwaan mereka kepada Allah s.w.t.
  5. Menyokong menjadikan USIM sebagai sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan yang terkemuka dalam ilmu-ilmu Islam dan dikenali disemua peringkat sama ada tempatan, serantau mahupun global.

PROGRAM AKADEMIK YANG DITAWARKAN

Program Siswazah:
Pengajian Secara Penyelidikan dan Penulisan Tesis
  1. Sarjana Pengajian Quran dan Sunnah
  2. Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah
Program Pra-Siswazah:
  1. Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian
  2. Sarjana Muda Pengajian Quran Dengan Multimedia Dengan Kepujian
  3. Sarjana Muda Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian
Jabatan Pendaftar
Aras 2, Bangunan Canselori
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai
71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel : 06-7988000 Faks : 06-7988130  
 

TARIKH KEMASKINI: RABU | 22 MEI 2018 | 9:00 PAGI